Saab Mengamalkan Kesaksamaan Gender

Mengiktiraf usaha Saab dalam mewujudkan ruang kerja yang sama untuk lelaki dan wanita, Hadiah Kesaksamaan Industri 2016 telah dianugerahkan kepada Saab.

Hadiah itu disampaikan oleh Majlis Industri Sweden (Industrirådet), yang merupakan kerjasama antara kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan dan telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Ekonomi dan Inovasi Sweden, Mikael Damberg pada Hari Industri, di Malmö, Sweden.

Menurut Majlis Industri, Saab telah menunjukkan usaha yang hebat dalam merealisasikan kesaksamaan gender. Usaha Saab ini adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa kesaksamaan gender merupakan prasyarat untuk inovasi dan keuntungan jangka panjang. Syarikat ini telah menggunakan strategi jangka panjang yang berjaya mencapai perkembangan positif dalam industri tradisional yang didominasi oleh kaum lelaki.

Untuk Saab, kaedahnya adalah mudah - iaitu percaya bahawa syarikat yang mempunyai kepelbagaian, di mana wanita dan lelaki mempunyai peluang yang sama, adalah lebih menguntungkan. CEO Saab Håkan Buskhe menyimpulkan usaha ini apabila beliau berkata, "Bagi Saab, kesaksamaan bukan projek - ia adalah sebahagian daripada strategi kami. Untuk Saab, nilai yang sama untuk semua orang adalah perkara yang benar-benar penting dalam warisan kami."

"Hadiah Majlis Industri adalah pengesahan bahawa kami berada di landasan yang betul," kata Håkan Buskhe apabila menerima anugerah itu.

Marie Söderqvist, Pengerusi Kumpulan Kesaksamaan Jantina Industri Majlis dan Presiden Persekutuan Makanan organisasi majikan, berkata bahawa Saab sememangnya berhak menerima anugerah ini. "Kerja-kerja Saab menunjukkan bahawa tidak ada jalan pintas apabila menyentuh tentang kesaksamaan gender. Ia adalah satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan pembangunan, komitmen pengurusan menjadi faktor utama untuk mencapai kejayaan."

Matlamat strategik Saab adalah untuk meningkatkan syer pengurus wanita kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang akhir 2015. Malah, menjelang akhir tahun, Saab mempunyai 27.2 peratus pengurus wanita di Sweden - satu kemajuan yang ketara dari tahun 2007, iaitu 13 peratus pada masa itu. Harapannya adalah untuk mencapai 30 peratus pada 2016.

Inisiatif awal

Saab sentiasa menggalakkan Kesaksamaan Gender kerana ia percaya bahawa percampuran pelbagai individu, idea, pengalaman dan budaya membawa kepada pembentukan syarikat yang lebih dinamik, inovatif dan meningkatkan keuntungan. Pasukan yang dinamik mewujudkan nilai melalui cara mereka berfikir. Kepelbagaian dan kesaksamaan adalah sebahagian ciri semula jadi Saab, dari pengambilan pekerja sehingga pengurusan manusia setiap hari kepada penjenamaan majikan.

Menyedari kepentingan kesaksamaan gender dan kesan positif ke atas perniagaan, Saab telah mengambil pelbagai inisiatif untuk kesaksamaan. Inisiatif ini bukan sahaja untuk meningkatkan bilangan pekerja wanita di Saab, tetapi juga mendapatkan modal insan kaum wanita yang berminat dalam bidang kejuruteraan. Saab sedang cuba untuk mengurangkan ketidakseimbangan gender yang lazim dalam industri pertahanan dengan menggalakkan wanita terlebih dahulu memohon untuk pendidikan kejuruteraan.

Sebagai contoh, Saab mengambil bahagian dalam program “Hari Kejuruteraan untuk Memperkenalkan Wanita” (IGEDay) 2015 anjuran kerajaan Sweden dengan membuka pintunya kepada kanak-kanak perempuan yang berumur antara 12-19, untuk memberi inspirasi kepada mereka untuk belajar dalam bidang penyelidikan, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Usaha ini sama pentingnya dengan usaha Saab untuk menarik jurutera wanita yang layak untuk menyertai Saab.

Usaha Saab untuk mencari calon Anugerah "Wanita Contoh Terbaik" adalah satu lagi inisiatif untuk mengiktiraf pengurus wanita di mana-mana, bukan sahaja di Saab. Pemenang tahun ini adalah Stina Tang dari EY. Beliau menerima Anugerah Wanita Contoh Terbaik Saab kerana "beliau memberi inspirasi kepada kanak-kanak perempuan untuk berani memecah masuk ke dalam persekitaran kerja yang didominasi lelaki dan kerana beliau mempunyai dorongan yang kuat untuk integrasi dan kepelbagaian di tempat kerja di Sweden."